Isnin, 14 September 2015

Pelancaran Masjid Mukim Bintulu

Masjid mukim tingkat pengurusan, pentadbiran masjid, umat Islam


BINTULU: Pengwujudan masjid mukim merupakan usaha penting untuk meningkatkan keberkesanan tahap pengurusan dan pentadbiran hal ehwal masjid dan masyarakat Islam setempat.
Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman berkata, melalui konsep masjid mukim maka hal ehwal sosial, pendidikan serta permasalahan umat Islam akan dapat ditangani dengan sebaiknya sekali gus dapat menyatukan umat Islam di negeri ini.
Beliau berkata keperluan-keperluan masyarakat Islam juga akan diberi perhatian melalui konsep ini dan masjid serta surau-surau dapat diurus dengan lebih berkesan.
“Kita mahu melalui konsep ini juga masjid mukim dapat melihat keperluan-keperluan masjid-masjid dan surau-surau di bawahnya serta mampu menggerakkan masjid dan surau lain agar aktif menganjur pelbagai aktiviti untuk masyarakat Islam setempat,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa melancarkan Masjid At-Taqwa Bintulu di Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) Sebiew sebagai masjid mukim bagi mukim bandar Bintulu malam kelmarin.
Menurutnya, masjid mukim juga berfungsi membantu agar permasalahan dan keperluan masyarakat Islam di sekitar masjid dan surau mukim diberi perhatian oleh agensi-agensi Islam di negeri ini, antaranya oleh Jabatan Agama Islam Bahagian mahupun Tabung Baitulmal.
Katanya, terdapat 101 mukim dan 1,100 masjid dan surau di negeri ini yang mana antaranya akan dipilih sebagai masjid mukim secara berperingkat-peringkat.
Terdahulu,Pegawai Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Bahagian Bintulu Ustaz Syed Harold Salleh Wan Mohammad berkata, pelancaran masjid mukim itu merupakan usaha untuk meningkat keberkesanan tahap pengurusan dan pentadbiran hal ehwal masjid serta masyarakat Islam di bahagian Bintulu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan