Isnin, 14 September 2015

Program Dekatkan Umat Islam Dengan Masjid




Pelbagai program dilaksana dekatkan remaja, masyarakat dengan masjid, surau
Oleh Abang Ismail Abang Su’ud
BINTULU: Pelbagai program dilaksanakan bagi mendekatkan remaja dan masyarakat Islam di bahagian Bintulu dengan masjid dan surau.
Pegawai Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Bahagian Bintulu Syed Harold Salleh Wan Mohammad berkata, penganjuran pelbagai program penting untuk mengimarah dan memupuk remaja Islam mendekati rumah ibadah.
Katanya masjid dan surau bukan sekadar tempat solat sehari semalam tetapi mampu dijadikan tempat penganjuran aktiviti kemasyarakatan.
“Harapan Majlis Islam Sarawak (MIS) adalah memasyarakatkan masjid dan surau di bahagian ini,” katanya yang juga pengerusi Program Lan Berambeh sempena Program Inovasi JAIS Berpusatkan Masjid 2015 di Masjid As-Syakirin Bintulu, kelmarin.
Beliau berkata program dimulakan sejak 2012 itu mendapat sambutan menggalakkan dan memberi kesan baik kepada masyarakat Islam sekali gus merancang meneruskan aktiviti itu pada masa akan datang.
Menurutnya, sebanyak 11 program inovasi diadakan JAIS dilaksana dan akan diadakan tahun ini selain Lan Riadah ialah Rakan Pegawai JAIS, Program Amar Makruf Nahi Mungkar atau mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran, Bengkel Cinta Al-Quran dan sebagainya.
“Program ini merupakan sebahagian program dakwah yang turut memupuk kecergasan dan kecerdasan fizikal, akal, rohani serta usaha mendekatkan remaja Islam dengan Islam,” katanya.
Selain itu, ia juga untuk memperkasa peranan institusi masjid sebagai ejen pembangunan ummah, memberi kesedaran kepada masyarakat Islam mendekati masjid dan surau, memupuk cinta ibadah dalam ahli keluarga dan masyarakat serta mengeratkan hubungan silaturahim di kalangan masyarakat Islam.
Katanya pelbagai permainan yang dianjurkan mendapat sambutan menggalakkan apabila pertandingan batu seremban disertai 22 peserta, congkak (36), catur (30), dart (32 orang untuk 16 pasukan), karom (64 orang, 32 pasukan) dan street soccer (192 orang, 32 pasukan) dengan keseluruhan 376 peserta.
Selain itu, turut diselitkan beberapa aktiviti seperti gerai jualan ‘car boot sale’, klinik memanah dan pameran.
Sementara itu, Setiausaha Jawatankuasa Pengurusan Masjid As-Syakirin Abang Arshad Abang Anuar berkata program itu menggalakkan remaja dan belia Islam serta masyarakat Islam lebih kerap datang ke masjid dan surau untuk menyempurnakan ibadah terutama solat.
“Ia juga memupuk pergaulan lebih baik remaja Islam melalui sukan dan permainan yang dianjurkan,” ujarnya yang  mewakili Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Masjid As-Syakirin merangkap Timbalan Pengerusi Lembaga Amanah Kebajikan Islam Bintulu (LAKIB) Datu Mohidin Ishak.
Turut hadir Mudir Madrasah Al-Quran Kampung Baru yang juga pendakwah bebas, Ali Fathullah Harun dan Pegawai Pentadbiran Masjid As-Syakirin Yusuf Sebli serta Imam Masjid As-Syakirin Aminuddin Annas.
Dalam pertandingan street soccer pasukan Al-Mustaqim L muncul juara, naib juara At-Taqwa C, ketiga Al-Mustaqim dan keempat Kidurong ST A.
Dalam pertandingan dart, At-Taqwa B muncul juara, naib juara disandang Darul Syakirin A, ketiga At-Taqwa A dan keempat IKM.
Manakala johan pertandingan karom ialah ITB Bintulu, diikuti Kidurong sebagai naib johan, ketiga White Dragon dan keempat Supreme.
Johan pertandingan catur pula ialah Mohd Khairul Nizam Osman, naib johan Jamhari Mohamat, ketiga Nathaniel Maikol dan keempat Abu Bakar Man.
Johan pertandingan congkak ialah Nur Haziah Ismail, naib johan Mohd Irfan Basri, ketiga Nazatul Afiqah dan keempat Izzatul Nurfarhana.
Bagi pertandingan batu seremban, johan disandang Sharifah Nurhikmah Wan Ala, naib johan Nurfitri Muhd Hudari, ketiga Paziah Pauzi dan keempat Nurzahra Abdullah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan