Khamis, 8 Oktober 2015

PROFIL 2 : MASJID DAERAH BINTULU



Tidak ramai penduduk luar Bintulu yang mengetahui tentang kewujudan  masjid ini berbanding Masjid Assyakirin. Khususnya bercerita tentang lokasi Masjid Daerah Bintulu. Kedudukan Masjid Daerah Bintulu ini di pinggir bandar Bintulu membuatkannya masjid yang begitu strategik bagi pengunjung atau pelancong yang datang ke bandar Bintulu. 
 
            Ketika hari Jumaat kebanyakan jemaah yang hadir untuk menunaikan Solat Jumaat adalah pengunjung daripada luar yang menginap di sekitar hotel-hotel di Bintulu. Pengunjung atau pelancong yang beragama Islam tidak perlu untuk ke Masjid Assyakirin kerana mereka boleh berjalan kaki menuju ke masjid ini bagi yang menginap di sekitar bandar Bintulu.

            Menurut maklumat yang diperoleh daripada generasi terdahulu, Masjid Daerah Bintulu merupakan masjid yang pertama di bina di Bahagian Bintulu. Masjid ini dibina sekitar akhir tahun 1890 menggunakan buluh sebelum digantikan dengan kayu. Sehingga sekarang binaan tersebut masih kekal dan utuh.

 

Dengan perkembangan dan pertambahan masyarakat Islam di Bintulu, masjid ini sentiasa mengikut perubahan zaman. Pembangunan fizikal masjid ini juga sentiasa dititikberatkan oleh pihak jawatanKuasa masjid, Kerajaan Negeri dan agensi-agensi swasta yang lain. Ini terbukti dengan berubahnya fizikal masjid dari tahun ke tahun.
           
            Pembangunan rohani juga amat dititik beratkan oleh jawatankuasa masjid yang sedia ada bagi memastikan perubahan fizikal masjid selari dengan perubahan minda dan rohani masyarakat di Bintulu. Bagi tahun 2007 sahaja pelbagai aktiviti dan program dirancang untuk memastikan masjid ini diimarahkan mengikut acuan Islam yang sebenar. 
 


Program berbentuk harian seperti kuliah agama antara Maghrib dan Isyak setiap hari Isnin sehingga Jumaat dan kuliah Subuh setiap hari Sabtu dan Ahad. Program ceramah sempena bulan-bulan kebesaran Islam juga diadakan seperti ceramah sempena Maulidur Rasul, Maal Hijrah, Nuzul Quran dan Nifsu Syaban. Malah menjadi tradisi setiap tahun khususnya bulan Ramadan program tazkirah ringkas sebelum menunaikan solat tarawikh di adakan sepanjang bulan tersebut.

            Majlis khusus juga diadakan bertujuan untuk memeriahkan program dan aktiviti masjid ini. Di antaranya Majlis Berbuka Puasa, Majlis Tadarus,  Majlis Khatamal Quran serta Tahlil Perdana. Selain itu, mini forum juga sering diadakan agensi-agensi kerajaan yang membincangkan isu semasa.

Sumber: Profil Masjid-Masjid Negeri Sarawak Edisi 2009


Tiada ulasan:

Catat Ulasan