Isnin, 12 Oktober 2015

PROFIL 6 : MASJID AL MUTTAQIN, KAMPUNG LABANG, SEBAUH

 


Masjid yang dibina dari kayu ini masih utuh dan mampu menampung kehadiran jemaah seramai 150 orang. Perkampungan ini yang dibahagi kepada dua kampung iaitu Kampung Hilir dan Kampung Hulu. Jumlah rumah yang ada di perkampungan ini mencecah 200 buah rumah. 

            Selain itu, perkampungan ini juga mempunyai sebuah sekolah rendah untuk kemudahan anak-anak di sini dan juga beberapa buah rumah panjang di tebing Sungai Labang. Kebanyakkan daripada anak-anak di rumah panjang ini menggunakan perahu untuk pergi ke sekolah.
            Kemudahan asas seperti elektrik masih lagi menggunakan sumber minyak diesel melalui penjana kuasa yang dibekalkan oleh wakil rakyat di sini. Bermula daripada pukul enam petang sehingga sepuluh malam barulah penduduk dapat merasai bekalan elekrik yang dibekalkan. 

            Manakala bekalan air bersih diproses melalui loji air mini yang diuruskan oleh pihak JKR di kampung ini. Walaupun bilangan rumah di sini berjumlah 200 buah, tetapi kebanyakan daripada rumah-rumah di sini tadak berpenghuni. Ini kerana selepas sahaja berkurangnya hasil pembalakan yang boleh mendatangkan peluang pekerjaan kepada penduduk kampung, rata-rata daripada mereka mula berhijrah ke Bandar Bintulu mencari peluang pekerjaan yang baru.

Walaupun kebanyakan generasi baru di kampung ini telah berhijrah, tetapi generasi lama tetap menjalankan urusan mereka seperti biasa. Masjid Darul Muttaqin ini tetap diuruskan dengan baik dan mempunyai jawatankuasa pentadbirnya sendiri. Kehadiran pegawai-pegawai kerajaan dan warga pendidik ke kampung ini sedikit sebanyak mendatangkan kemeriahan walaupun tidak seperti dahulu.

            Selain itu, kerjasama yang erat di antara penduduk kampung untuk menjalankan aktiviti di masjid amat jelas dizahirkan walaupun bilangan mereka yang tinggal di sini semakin berkurangan. Setiap kali adanya perayaan Islam, Kampung Labang tidak pernah  terlepas pandang oleh mana-mana agensi kerajaan dan swasta.

Kebanyakan daripada pihak urusetia yang menganjurkan aktiviti di sini amat berpuas hati dengan layanan dan kerjasama oleh penduduk walaupun pihak penganjur terpaksa berperahu untuk ke perkampungan ini tetapi, budi bahasa yang mulia yang ditunjukan oleh penduduk memikat hari pengunjung yang datang.
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan