Isnin, 12 Oktober 2015

PROFIL 7 : MASJID DARUL IMAN, KAMPUNG PANDAN, SEBAUH.

 


Sekitar tahun 1940-an sebuah masjid yang kecil dibina di seberang sungai Kampung Pandan. Bagi anak jati Bintulu, kampung ini lebih dikenali sebagai Kampung Pandan Melayu. Perkataan “Melayu” diletakkan selepas pandan adalah untuk membezakan penempatan orang Islam dan bukan Islam.

            Pembinaan Masjid Darul Iman Kampung Pandan menggunakan kayu. Sehinggalah tahun 1975, masjid ini dibesarkan dan mampu menampung jumlah jemaah yang semakin berkembang. Pada tahun 2000, masjid ini dibina dengan menggunakan konkrit untuk memperkuatkan lagi binaannya,

            Sekitar awal tahun 80-an sehingga akhir 90-an, kampung ini menjadi tumpuan penduduk dari luar kawasan Bintulu. Ini kerana aktiviti pembalakan yang membawa kepada peluang pekerjaan penduduk kampung. Akan tetapi, apabila aktiviti pembalakan banyak dihentikan, penduduk terpaksa mencari alternatif lain untuk menyara ekonomi keluarga. Bilangan rumah di kampung ini mencecah 80 hingga 100 buah rumah tetapi kebanyakkannya kosong kerana penghijrahan generasi muda yang semakin ketara.

            Walaupun terletak 60 kilometer dari Bandar Bintulu, perkampungan ini khususnya Masjid Darul Iman ini tidak pernah sunyi menerima kehadiran tetamu luar. Kebanyakkan aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan diadakan di dalam masjid dan perkarangannya. Walaupun masjid ini dilengkapi dengan ruang solat yang boleh menampung 200 orang jemaah, ia tidak menghalang masjid ini untuk beroperasi demi kemudahan penduduk kampung.

            Walaupun masih dihimpit dengan masalah penghijrahan anak-anak muda ke kota, pengurusan kampung masih dijaga dengan baik oleh penduduknya. Lebih membanggakan perkampungan ini mampu menghasilkan generasi yang berjaya memimpin masyarakat Bintulu ke arah kejayaan. Ini terbukti dengan adanya anak dari perkampungan ini menjawat jawatan tertinggi dalam sektor swasta mahupun kerajaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan