Khamis, 8 Oktober 2015

PROFIL 3 : MASJID DAERAH TATAU, BINTULU



Terletak 60 kilometer daripada Bandar Bintulu tidak menghalang pembangunan Daerah Tatau. Ini kerana kedudukan Daerah Tatau yang berada di tepi jalan Bintulu/Sibu menjadikannya tempat persinggahan pengunjung yang ingin meneruskan perjalanan ke Sibu atau Mukah. Dilengkapi dengan kemudahan stesen minyak, balai polis, pejabat pentadbiran kerajaaan negeri dan persekutuan menjadikannya berkembang maju seperti daerah-daerah lain di Negeri Sarawak.

            Sejarah awal pembinaan Masjid Darul Ibadah, Daerah Tatau ini bermula sekitar tahun 1975 dan keseluruhan strukturnya menggunakan kayu di sebuah tapak tanah yang diwakafkan oleh penduduk kampung ketika itu. Pembinaan masjid ini amat berkaitan dengan pertambahan penduduk kampung ketika itu. Di mana Surau Darul Islam yang terletak di hulu kampung tidak dapat menampung pertambahan jemaah.

            Maka hasil kerjasama dan perpaduan penduduk kampung ketika itu berjaya mendirikan sebuah masjid yang dinamakan Masjid Darul Ibadah dan terus digunakan sehingga kini. Walaupun masa berlalu begitu pantas, akan tetapi sebahagian besar bahan binaan ini masih dikekalkan ketika di awal pembinaannya seperti lantai kayu dan sebahagian dindingnya. Masjid ini juga mempunyai kemudahan rumah wakaf untuk kediaman pengunjung, tempat kursus dan bilik pengurusan jenazah. Kedudukan masjid yang stategik menjadi pilihan agensi kerajaaan dan swasta mengadakan kursus atau seminar di dalam kawasan masjid.

Kedudukan kampung dan masjid ini di tepi Sungai Tatau menyebabkan banjir sering berlaku. Usaha penduduk kampung untuk mencari tapak tanah yang sesuai masih diteruskan dengan mengadakan rundingan dan mesyuarat  dengan pihak berkuasa. Walaupun sering dilanda banjir sehingga menjejaskan aktiviti harian penduduk, tetapi itu ia tidak mematahkan semangat penduduk kampung untuk mengimarahkan rumah Allah ini. 


Program-program pembangunan modal insan juga giat dijalankan dengan kerjasama pelbagai pihak. Ini terbukti dengan perancangan dan hubungan yang rapat pihak pentadbiran dan pengurusan masjid berjaya menjadikan masjid ini tumpuan pelbagai pihak. Kursus kefahaman Islam, bengkel jenazah, motivasi pelajar-pelajar dan pelbagai lagi berjaya diadakan. Sikap yang perihatin jawatankuasanya menyebabkan masjid ini diuruskan dengan baik dan mendapat kerjasama pelbagai pihak walaupun fizikalnya yang kelihatan uzur.
            
Program untuk menarik minat golongan muda juga giat dirancang dan dijalankan salah satu daripadanya adalah kelas latihan silat yang mendapat kerjasama daripada Persatuan Silat di Bahagian Bintulu. Kelas ini diadakan setiap hari Khamis selepas Isyak bertempat di perkarangan masjid. Secara tidak langsung berjaya menarik minat anak muda untuk mendekati masjid yang selama ini sunyi sepi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan